preload
Published in:










Setiap manusia mempunyai kelemahannya tersendiri. Ini kerana, "lemah" adalah salah satu sifat makhluk, dan manusia juga adalah salah satu makhluk ciptaan Allah. Tiada seorang manusia pun yang sempurna, sehingga tiada satu pun cacat cela pada sifatnya.

Begitulah juga dengan anak kita.

Ada anak yang ditakdirkan lambat berjalan.

Ada juga anak yang mahu bercakap banyak, tetapi "pelat".

Ada juga anak yang sukar untuk makan, sehingga badannya kurus keding.

Ada juga anak yang dah diajar ABC atau alif-ba-ta beribu kali, tapi masih belum dapat mengingati.

Kelemahan itu adalah perkara yang biasa bagi seorang manusia. Jangankan anak, kita juga ada kelemahan diri. Tetapi Allah swt tidak pernah memandang kelemahan-kelemahan fizikal ini untuk memilih siapakah hamba-Nya yang wajar dicintai.

Nabi Musa a.s adalah seorang yang gagap. Tetapi, Baginda adalah salah seorang kekasih Allah. Allah swt sangat menyayangi Nabi Musa a.s sehinggakan Allah swt telah menyelamatkan seorang tentera Firaun bernama Jalut daripada lemas di lautan, kerana Jalut ini adalah badut Firaun yang suka meniru gaya Nabi Musa a.s bercakap gagap. Allah swt suka pada Jalut, kerana dia meniru perbuatan kekasihnya.

Bilal bin Rabah r.a adalah seorang hamba yang berkulit hitam. Bukan setakat hitam biasa, malah hitam berkilat. Tetapi, Allah swt sayang padanya. Allah swt telah muliakannya, sehinggakan suara azannya dapat didengari bukan sahaja oleh penduduk bumi, malah, oleh penduduk langit juga. Padahal, (ada riwayat yang mengatakan), suara Bilal bukanlah sedap, ramai lagi sahabat yang bersuara lebih lunak daripada Bilal.

Kisah-kisah ini membuktikan bahawa, kelemahan-kelemahan fizikal sama sekali tidak dapat mengurangkan kasih sayang Allah swt pada seseorang. Betapa Rahimnya Allah swt, apabila Dia menyayangi seseorang, Dia akan menyayangi kesemua yang ada pada orang itu, walaupun sesuatu yang dianggap sebagai kelemahan. Sekiranya Allah swt yang Maha Sempurna boleh menyayangi seseorang ke tahap itu, apatah lagi kita, hamba-Nya yang sangat lemah lagi hina.

Adakalanya, bila kita melihat kepetahan dan kepandaian anak orang lain, kita berasa rendah diri dan malu dengan kelemahan anak kita. Sebenarnya, kita tidak perlu berasa begitu. Anak kita hanya mempunyai satu atau dua kelemahan sahaja, banyak lagi kekuatan yang ada dalam dirinya. Mengapa kita harus memandang pada kelemahannya sahaja, lihatlah pada kekuatannya.

Mungkin anak kita tidak sepetah anak orang lain, tetapi dia ada kelebihan di tempat lain. Dia suka tersenyum, dia pandai membantu ibubapa, dia suka mengemas biliknya, dia tidak pernah mengherdik orang, dia tidak memanggil orang dengan nama-nama yang tidak disukai, dan bermacam-macam lagi.

Sebagai ibu bapa, seharusnya kita fokus dan usahakan atas kekuatan yang Allah swt telah berikan kepada anak kita. Lupakan kelemahannya. Jangan sesekali mentertawakan kelemahannya, menyebut-nyebut kelemahannya di hadapan orang lain, memarahinya kerana kelemahan tersebut. Kerana ia akan menjadikan anak kita hilang keyakinan diri, padahal dia ada banyak kelebihan yang lain. Jadi, mari kita lupakan, lupakan dan lupakan kelemahannya.

Apabila ibu bapa fokus untuk menghargai dan membina kelebihan yang ada pada anaknya (peluk cium anak selalu, beri penghargaan buatnya, motivasikan dirinya, beri tunjuk ajar dengan sabar, selalu mendoakannya),maka anak itu akan menjadi lebih berkeyakinan dan lebih cemerlang, sehinggakan kelemahan yang ada padanya terus lenyap . Kerana apa? kerana kita hanya memandang pada kekuatan dirinya SAHAJA.

Tiada kelemahan yang harus kita risaukan, melainkan seandainya anak kita tidak mempunyai iman dan amal (nauzubillahiminzaalik). Seandainya dia telah mempunyai iman dan yakin yang kuat pada Allah swt dan beramal mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, maka dia sudah pun berjaya di dunia dan di akhirat.

- Artikel iluvislam.com

  • 0 comments:

    • Post a Comment

Total Pageviews

THANK YOU

AHLAN WAHSAHLAN

http://www.kddi.com/sakura2009/blogparts/js/sakura.js